YOU ALWAYS BURN MY SPIRIT

Showing posts with label i LOVE DEBATE. Show all posts
Showing posts with label i LOVE DEBATE. Show all posts

Thursday, March 17, 2011

KALI TERAKHIR

Assalamualaikum...

Sungguh. Ini kali terakhir. Gugur dari pentas persembahan. Tapi bukan kerana bunga ini layu. Tapi dek kerana bunga ini bakal dipetik orang. Aduh. Betul, untuk mendapat kebahagiaan yang kekal ke syurga, nikmat dunia terpaksa aku korbankan. Namun, hati masih lagi terlalu sayang. Bukan mahu meninggalkan duniaku ini, cuma aku tidak akan bersembah lagi. Aku tidak akan lari, masih akan menyumbang bakti dan menjadi inspirasi. Aku berpegang pada janji, cintaku pada dunia orator akan kekal selama-lamanya. Aku pencinta debat yang setia. Cuma, cinta ini hanya kekal di atas dunia. Kerana di akhirat sana pasti aku akan membawa cintaku di bawah telapak kaki bonda dan suami untuk bertemu Ilahi.

Pesan permata hatiku, jangan sekadar melepaskan batuk di tangga. Buat sungguh-sungguh. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Buktikan.

Ya. Buktikan. Terima kasih atas nasihat.

Kami telah mencuba sedaya upaya. Memerah segala kudrat. Menghabiskan segala sisa keringat. Tenaga kami dan curahan idea kami sudah di tahap maksimum. Kami berdoa, berusaha, berikhtiar dan bertawakal. Hanya Allah yang tahu kesudahannya, justeru kami pohon kesudahan yang baik Ya Allah.

Terima kasih Abang Bob, Adib, Irma dan Yaya. Juga adik-adik kesayangan, Afifah, Wanzai, Sein, Nadzely, Fatin, Jang, Efa, Zai, Din dan Naim. Terima kasih sudi mocking bersama kami. Juga kepada semua adik-adik orator yang lain, terima kasih, terima kasih, terima kasih. Anda semua adalah penguat. Sungguh, kami kuat kerana kasih-sayang curahan adik-adik.

Juga titipan khas buat Abang Syahmi selaku jurulatih Kelab Orator Unit Bahasa Melayu, kami tuturkan seikhlas ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa baik serta tunjuk ajar daripada Abang Syami selama ini.

Doakan kejayaan kami. Pohon dipermudahkan segala urusan.


DEBAT PERDANA INTEGRITI 2011
Ahmad Burhan Sidqi bin Abdul Rahim
Adib Aiman bin Badrul Sahar
Nurul Ain binti Mat Rahim
Rogayah binti Ghozi
UUM SINTOK, KEDAH
17 MAC hingga 21 MAC 2011


Pasti aku akan rindu pada bayang-bayang.
Bayang-bayang yang muncul dalam angan-angan.
Angan-angan tentang kenanganku,
Kenangan kali terakhir.

Salam.

Sunday, October 31, 2010

DePNC 2010


Assalamualaikum...

Mari bercerita. Satu cerita yang dulu hanyalah imaginasi. Kini telah menjadi realiti. Alhamdulillah.


Debat Piala Naib Canselor UniSZA
Kategori Bahasa Melayu

Tarikh: 14 hingga 16 Oktober 2010
Peringkat akhir: Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA
"SETELAH 53 TAHUN KITA MASIH DALAM DILEMA"
Johan: Fakulti Undang-undang
dan Hubungan Antarabangsa
Naib Johan: Fakulti Kontemporari Islam
Pendebat Terbaik: Fakulti Kontemporari Islam

"Bila bertalu rentak di kalbu
Hasrat yang tersirat semakin ku buru
Bila bergema laungan gempita
Harapan bernyala nadiku berganda
Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin ke angkasa
Berkalungkan bintang berkerlipan
Menyerlah jauh dari yang biasa.."


-Tima kasih daun keladi-

-Kedua-duanya pendebat terbaik. Tahniah-

-Tahniah Rogayah Ghozi. Tahniah Nur Hidayat Jamaluddin-

-Kami perlukan kamu, adik2 oratorian > penerus generasi Kelab Orator UniSZA. Mesti SEMANGAT!-

"Harapan yang pernah terkulai layu
Kembali segar mekar bawah bayanganmu
Setiap manusia ingin berjaya
Namun tak semua miliki tuah
Engkau menghampirinya
Kesempatan telah pun tiba.."

p/s: Terima kasih kepada semua pendebat2 DePNC 2010, Kelab Orator Bahasa Melayu UniSZA dan Exco Akademik MPP UnisZA. THE BEST!


Salam.

Thursday, July 29, 2010

KISAH RINDU DEBAT


Assalamualaikum...

Tertangguh dan asyik sahaja tertangguh. Aku jenuh melayan kerenah masa. Tidak sukar sebenarnya untuk mencuri masa, cuma berasa sukar untuk memanfaatkan masa. Akhirnya, ruang yang sepatutnya diisi ini, terus sendiri. Hari ini baru mendapat teman. Teman kepada sang kasih, datanglah si perindu. Kisah Rindu Debat. Aku tidak bisa menipu, kerana aku mengenali diriku, aku memang sangat rindukan kisah ini.


-Ideal-

-Tahniah UTP dan Usim!-

Sekilas pencapaian Debat Alam Sekitar 2010:

1. Ranking ke-17 daripada 24 buah universiti
2. Menang dua usul daripada 6 usul pada peringkat saringan

Ya, aku tidak menafikan bahawa pencapaian kali ini kurang memuaskan. Namun, percayalah pengalaman ini sangat berharga dan tidak ternilai hikmahnya. Debat kali ini amat meletihkan mental. Fikiran berasa berat, idea tersekat-sekat. Kami telah sedaya-upaya untuk mencurahkan segala kudrat yang ada.

Komen-komen hakim untuk renungan bersama:


Usul 1: Teknologi Hijau Melestarikan Alam Sekitar (Ditolak)

Kerajaan: Utem
Pembangkang: UniSZA
Margin: 4
Juri: 2-1
Pendebat Terbaik: Nurul Ain (UniSZA)


Hakim JAS:
1. Ada analisis kes
2. Tafsiran teknologi hijau perlu lebih jelas
3. Fakta-fakta yang dikemukakan ada kekeliruan


Hakim DBP:
1. Laras bahasa baik
2. Hati-hati dengan penggunaan kata 'di mana'
3. Lebihkan ayat penegasan untuk kemukakan hujah


Hakim MADUM:
1. Struktur perdebatan seimbang
2. Isi perlu dikupas dengan lebih dalam
3. Banyakkan fakta kes dan statistik


Usul 2: Isu Alam Sekitar: NGO Menangguk di Air Yang Keruh (Ditolak)

Kerajaan: UniSZA
Pembangkang: UTP
Margin: 6.5
Juri: 2-1
Pendebat Terbaik: Siddiq (UTP)


Hakim JAS:
1. Kupasan isi tentang luar negara terlalu banyak, lebihkan isi dalam negara
2. Pembangkang perlu sebutkan NGO yang bantu kerajaan
3. Rujukan daripada internet perlu diulas lebih dalam


Hakim DBP:
1. Penggunaan kata kerja terlalu kerap
2. Gunakan ayat yang lengkap apabila berhujah


Hakim MADUM: Tiada komen


Usul 3: Prasarana Terbina Alam Sekitar Merana (Diterima)

Kerajaan: Usim
Pembangkang: UniSZA
Margin: 2.5
Juri: 2-1
Pendebat Terbaik: Ikhwan (Usim)


Hakim JAS:
1. Jelaskan peranan EIA dengan lebih terperinci


Hakim DBP:
1. Jangan menggunakan perkataan 'bercerita' apabila berhujah
2. Gunakan kata sapaan YB dan YAB


Hakim MADUM:
1. Kualiti perdebatan boleh ditingkatkan
2. Cara menyatakan pendirian konsep perlu diperkemas
3. Ada pendebat berhujah secara berterabur
4. Cara penyampaian terlalu cepat


Usul 4: Program Mekanisme Pembangunan Bersih (CDM) Lebih Menguntungkan Syarikat daripada Alam Sekitar (Ditolak)

Kerajaan: UniSZA
Pembangkang: UUM
Margin: 4
Juri: 3-0
Pendebat Terbaik: Amin Firdaus (UUM)


Hakim JAS:
1. Perlu gunakan fakta yang betul
2. Definisi CDM dan GHG perlu lebih jelas
3. Kedua-dua pihak memuaskan


Hakim DBP:
1. Bahasa sangat baik
2. Susunan kata untuk mengeluarkan idea tidak jelas
3. Ayat selepas mesti ada kaitan dengan ayat sebelum
4. Pemahaman usul sangat penting - kerana wujud dua situasi, oleh itu selari atau rugi boleh diterima sebagai asas bangkangan
5. Penggunaan kata 'kawal atur' adalah salah, gunakan 'kawal' sahaja
6. Penggunaan bahasa inggeris 'emisi'
7. Estetika bahasa perlu ada dan boleh digunakan dalam debat terbuka seperti peribahasa, pantun dan sebagainya


Hakim MADUM:
1. Kedua-dua pihak menyakinkan


Usul 5: Penggunaan Air Tanah Membawa Bencana Kepada Alam Sekitar (Ditolak)

Kerajaan: UniTAR
Pembangkang: UniZSA
Margin: 7
Juri: 3-0
Pendebat Terbaik: Husaini (UniSZA)


Hakim JAS:
1. Kurang analisis pada isi dan kupasan isi tidak kemas
2. Penggunaan contoh kes yang tidak tepat
3. Contoh mekanisme kawalan selain daripada EIA ialah Akta Mineral dan Geologi Sains


Hakim DBP:
1. Penggunaan kata terlalu santai
2. Penggunaan kata 'keberadaan' adalah salah, sepatutnya 'kedudukan'
3. Tidak boleh menggunakan kata 'penceritaan' sewaktu berhujah
4. Penggunaan kata 'menjernihkan' yang tidak tepat dalam ayat
5. Bezakan 'analisis' dan 'analisa'
6. Penggunaan ayat yang tidak teratur, contoh: 'menyembuhkan penyakit, bahkan...'
7. Penggunaan kata yang tidak tepat, contoh ' melakukan sektor pertanian'
8. Ayat tergantung
9. Pengunaan ayat yang tidak tepat, contoh: 'mereka tidak menunjukkan'
10. Sewaktu debat terbuka, ayat yang digunakan mesti pendek, tepat dan mudah difahami.


Hakim MADUM:
1. Gaya semua pendebat baik
2. Ada masalah dalam struktur, tidak sistematik
3. Bidasan mesti dinomborkan dan bersistematik
4. Analisi bukti mesti jelas
5. Third speaker mesti analisis kekuatan dan kelemahan pihak lawan daripada segi teknikal dan hujah.


Usul 6: Pengurusan Bahan Buangan Elektrik dan Elektronik (E-Waste) Berjaya Dilaksanakan (Ditolak)

Kerajaan: UniSZA
Pembangkang: Utem
Margin: 3
Juri: 2-1
Pendebat Terbaik: Ketua Pembangkang (Utem)


Hakim JAS:
1. Kupasan tajuk tidak tepat dan tidak mendalam
2. E-waste di Malaysia baru dilaksanakan
3. Banyakkan pembacaan


Hakim DBP:
1. Penggunaan frasa dan binaan ayat tidak tepat atau tidak lengkap
2. Penggunaan kata yang tidak tepat, contoh: 'sisa buangan komputer'
3. Berhati-hati dengan penggunaan kata sapaan


Hakim MADUM:
1. Konsep lemah dan longgar
2. Kerajaan takut-takut nak buka konsep
3. Pertikaian pembangkang boleh meragukan kes
4. Penyampaian lemah, tidak menjiwai perdebatan


Pertembungan UTP dan Usim di peringkat akhir, bagiku hebat. Kami juga pernah berhadapan dengan kedua-duanya dan kami tahu kekuatan mereka letaknya di mana. Dengan usul 'Penguatkuasaan Undang-undang Lebih Berkesan Daripada Pemantapan Kesedaran Demi Menyelamatkan Alam Sekitar', UTP selaku kerajaan muncul Johan. Usim pula boleh berbangga tatkala Ikhwan dinobatkan sebagai pendebat terbaik. Hebat semuanya, tahniah!

Akhir kalam, ambillah yang baik supaya yang baik itu dapat kita jadikan teladan dan hal yang buruk sama-sama kita jadikan sempadan. Perdebatan kali ini, sangat manis untuk dikenang, selagi hayat dikandung badan, cinta ini mekar di jambangan.

p/s: Terima kasih buat Abang Syahmi, Hanas, Abang Bob, Husaini, Dian, Rogayah dan Afifah. Terima kasih, terima kasih, terima kasih!


Salam.

Thursday, July 15, 2010

KISAH KASIH DEBAT

Assalamualaikum...

Awal-awalnya, sangat gembira. Terasa ingin setia. Namun, semekar mana pun kasih, akhirnya layu jua. Inilah kisah akhir sebuah perjuangan, Kisah Kasih Debat.

Hari ini, aku akan melangkah dengan hati kuat. Aku bukanlah gagah, dan bukanlah perkasa. Aku sebenarnya pernah longlai, tapi aku sedar kaki ini perlu berdiri. Aku pergi bukan untuk menunjukkan kehebatan, kerana aku tidak hebat. Aku juga yakin, Abang Bob, Husaini dan Dian juga bukan pergi untuk menunjukkan kehebatan sendiri. Kami pergi, kerana mahu melengkapkan kisah ini, Kisah Kasih Debat. Jika kami pergi untuk menunjuk kehebatan, nescaya kehebatan kami itu akan tenggelam, kerana yang mencari hebat itu, tidak sedar, Dialah Yang Maha Hebat. Lantas, apakah nilai kehebatan kita di sisi Yang Maha Hebat itu?

Kita adalah hamba.

Aku kalah dengan angan-angan, tewas dengan kenyataan. Hakikatnya, inilah pengakhiran. Ada perihal indah untuk dikenang, juga cerita pahit untuk ditelan. Kisah kasih, sayang dan cintakan debat berakhir di sini.

Buat team Debat Alam Sekitar kali ini, jangan mudah berputus asa dengan perjuangan. Kita merupakan wakil pendebat UniSza buat kali yang pertama. Sejarah ini, yang pertama dan terakhir buat diriku. Dan pengharapan buat Abang Bob, Husaini, Dian, Afifah dan Rogayah, kamu semua masih punya waktu untuk mengukir tinta sejarah. Buat yang terbaik! Bukan yang terhebat. Sekadar pesanan.

Buat kalian yang turut serta dalam persediaan kali ini, jutaan terima kasih jujur ku tuturkan. Terutamanya Abang Syahmi selaku jurulatih, Anas yang banyak berbakti, Nadzely, Hidayat, Irma, Fikri, Salmi dan Azsikin.

Ketepikan segala sentimen yang ada, yakinlah bintang yang sengaja melimpah-limpahkan sinar itu, akan sirna tatkala jatuhnya sinaran. Hebatnya kuasa Tuhan. Ada hikmah di sebalik keperitan.

Doa-doakan segala-galanya berjalan lancar. Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami. Amin.


PERTANDINGAN
DEBAT ALAM SEKITAR 2010
UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU
15 HINGGA 19 JULAI 2010


Salam.

Thursday, May 27, 2010

DEBATE IS PAIN




Assalamualaikum...

Alhamdulillah. Hari ini baru terkumpul segala kudrat untuk menulis. Sudah banyak kali ruang ini kujengah, namun hanya mampu melihat dengan kadar pandangan mata yang kosong. Jari-jemari galak untuk menari-nari tapi otak penat untuk berfikir apa-apa. Akhirnya, lama blog ini terbiar tanpa informasi. 9 hari DEBAT PISZA berlalu. Seharusnya memang ada urutan cerita yang kutulis.

Malam terakhir, kata-kata daripada Abang Syahmi membuatkan aku berfikir panjang. Debat itu sakit. Memanglah sakit. Sangat sakit sebenarnya. Peristiwa yang berlaku keesokan paginya, mengiyakan fikiran yang panjang, debat memang sakit. Kerana sakit, aku bangkit untuk melawan.

Kami redha menerima keputusan daripada-Nya. Sukar untuk diduga, namun pencapaian kali ini bukan sia-sia. Pasukan UDM aku kira telah berjaya melakar sejarah dalam 10 tahun penganjuran DEBAT PISZA.

Sekilas pencapaian DEBAT PISZA KALI KE-10 2010:

UDM A:
Faiz
Irma
Afifah
Moganna


UDM B:
Husaini
Rogayah
Nadzely
Nurul Ain



1. Pada pusingan ke-6, UDM B berada pada rangking-1 dan UDM A berada pada rangking ke-2.

2. UDM A dan UDM B memenangi 5 pusingan daripada 6 pusingan.

3. UDM A dan UDM B layak ke separuh akhir.

4. 6 orang pendebat UDM mendapat Pendebat Terbaik, dan 2 orang mendapat pencalonan untuk Pendebat Terbaik.

5. 2 orang pendebat UDM B berada dalam rangking 10 Pendebat Terbaik.





Usul Perdebatan dan Keputusan Juri untuk UDM B:

Pusingan 1


Usul: Model Ekonomi Baru Adalah Benih (Diterima)
Kerajaan : UDM B
Pembangkang : UDM A
Pendebat Terbaik: Nurul Ain


Pusingan 2


Usul: 13 Mei Dianaktirikan (Diterima)
Kerajaan : UDM B
Pembangkang : UiTM Pahang
Pendebat Terbaik: Husaini


Pusingan 3


Usul: Masalah Sosial Berselirat (Ditolak)
Kerajaan : Uitm Dungun C
Pembangkang : UDM B
Pendebat Terbaik: Nurul Ain


Pusingan 4


Usul: Pemanasan Global: Nyawa Terletak di Hujung Rambut (Diterima)
Kerajaan : UDM B
Pembangkang : Uniten B
Pendebat Terbaik: Husaini


Pusingan 5

Usul: Pistol Perlu Lebih Kerap Disimpan (Diterima)
Kerajaan : UiTM Dungun C
Pembangkang : UDM B
Pendebat Terbaik: Ahmad Anis UiTM


Pusingan 6

Usul: Dewan Ini Menyokong Program Pembangunan Nuklear (Diterima)
Kerajaan : UDM B
Pembangkang : Uniten A
Pendebat Terbaik: Husaini


SUKU AKHIR


Usul: IPT Swasta Dapat Meningkatkan Mutu Pendidikan Negara (Diterima, Juri 5-0)
Kerajaan : UDM B
Pembangkang : UMT A
Pendebat Terbaik: Nurul Ain




SEPARUH AKHIR

Usul: IPT Swasta Penjana Generasi Inovatif dan Kreatif (Ditolak, Juri 4-3)

Kerajaan : UDM B

Pembangkang : UiTM Dungun C

Pendebat Terbaik: Ahmad Anis UiTM



Itulah, coretan pahit dan manis. Sakitnya di hujung-hujung. Apabila dengan keputusan 4-3, kami tersungkur dengan kemenangan yang berpihak kepada tuan rumah. Walaupun ada cerita di sebalik kekalahan meja kerajaan, aku percaya Husaini, Nadzely dan Rogayah telah berusaha berhempas-pulas untuk mempertahankan kes. Aku jadi sakit, tatkala Abang Syahmi bertanya, "Apa jadi dengan awak?". Cuti semester yang panjang menjadi medan untuk mengumpul kekuatan. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Husaini, Rogayah dan Nadzely, serta rakan-rakan debat yang lain. Anda semua adalah yang terbaik. Pada aku, aku bangga apabila UDM B berjaya mengekalkan kedudukan di tangga pertama sejak pusingan ke-2 hingga pusingan ke-6, dan UDM A bangkit daripada tangga ke-10 hingga tangga ke-2. Cuma sakitnya, kami tidak dapat beraksi di pentas akhir. Perlawanan akhir menyaksikan pertembungan antara UiTM Dungun C vs Uniten A dengan usul 1Malaysia: Peleburan Identiti, kemenangan berpihak kepada UiTM Dungun C sebagai kerajaan. Jatuh sahaja tirai penutup DEBAT PISZA, aku benar-benar sakit.

"I know, debate is pain. But debate is my life. Its all about sacrifice, and i do love debate!"

-waktu suku akhir melawan UMT A-

p/s: Tahniah Abang Syahmi atas perlantikan secara rasmi sebagai jurulatih debat UDM.

Salam.


Friday, May 14, 2010

DEBATE IS SACRIFICE

Assalamualaikum...

Sehari menjelang Debat PISZA. Banyak perkara yang telah berlaku. Suka dan duka. Sedih dan gembira. Tawa dan tangis. Kebahagiaan, dan penderitaan perasaan. Namun, dunia debat perlukan pengorbanan. Satu pengorbanan apabila kita lebih rela mempamer suka walaupun duka. Pengorbanan apabila terpaksa mematikan kesedihan demi sebuah kegembiraan. Pengorbanan jiwa yang sengsara tatkala riak wajah ketawa menyorokkan tangis yang sayu. Menolak deritanya rasa, untuk kebahagian bersama. Ironinya, semua perkara yang berlaku ini semakin membuatkan aku bertambah sayang dan cintakan debat.

Jutaan penghargaan yang tidak terhingga buat semua senior-senior debat UDM. Peserta-peserta Debat PISZA, Husaini, Faiz, Nadzely, Irma, Afifah, Moganna, serta Rogayah. Tidak ketinggalan, ucapan terima kasih kepada Abang Din atas tunjuk ajar yang diberi, Abang Syahmi yang sanggup berkongsi masa membantu kami, dan Abang Bob yang aku kira rela berkorban, kerana sedar akan matlamat yang satu, demi martabat universiti. Sekali lagi, terima kasih.

Debat itu pengorbanan. Debat itu adalah rasa, jiwa dan sentiasa hidup dalam hati-hati pendebat yang menghayati serta memahami nilai-nilainya. Doakan kami untuk mencapai target ke final. Mudah-mudahan, segala urusan dipermudahkan oleh-Nya. Aku patut bersyukur atas ujian yang melanda, hanya Allah sahaja yang tahu rahmat ujian terhadap hamba-hambaNya. Sentiasalah kita bersyukur kepada-Nya. Selalulah merintih, Allah rindukan tangisan kita yang penuh ikhlas meminta. Siapalah kita, untuk melawan kehendak Yang Maha Esa.

Kenangan bersama senior debat, thanks to
Dayah, Halwa and Fahmi

Irma Shukri, Husaini dan Rogayah

Nadzely, Afifah, Faiz dan Moganna


Kawan-kawan, buat yang terbaik:

Irma : Rindu gurau-senda kamu. Anda adalah yang terbaik.

Husaini : Terhibur dengan gaya kamu. Anda adalah yang terbaik.

Rogayah : Kagum dengan semangat kamu. Anda adalah yang terbaik.

Nadzely : Tersentuh dengan sikap kamu yang sangat caring. Anda adalah yang terbaik.

Afifah : Gembira punya adik seperti kamu. Anda adalah yang terbaik.

Faiz : Terpesona dengan keyakinan kamu. Anda adalah yang terbaik.

Moganna : Kamu adalah kawan berbangsa India yang pertama dalam hidupku! Anda adalah yang terbaik.


DEBAT PIALA SULTAN ZAINAL ABIDIN

UITM DUNGUN 15-18 MEI 2010

TEAM UDM 1 : Husaini, Nadzely, Rogayah dan Nurul Ain

TEAM UDM 2 : Faiz, Irma, Afifah dan Moganna


"It is not important whether you will win or not. What matters most is give your best shot. Ask yourself have you given your all?
The winner always be the winner whether being declared nor not so long we give our best!"

Salam.

Friday, May 7, 2010

DEBATE IS LIFE

Assalamualaikum...

Sambil menyelam minum air. Sambil menulis, sambil mendengar. Sambil mendengar, sambil berfikir. Sambil berfikir, sambil bercakap. Sebelum bercakap, semuanya mesti tercatat di minda. Latihan mock kilat petang dan malam tadi betul-betul membuatkan aku tersekat-sekat. Setiap butir bicara jadi payah diatur, buah fikiran jadi beku. Aku perlukan lebih banyak latihan dan praktikal! Terpegun melihat perubahan drastik Irma, mata terpaku memerhatikan gaya Husaini, sedikit gugup dengan kehadiran Faiz pada hari pertama. Walaupun aku berasa sangat teruk dengan persembahan diri sendiri pada hari ini, namun tetap berasa seronok. Aura debat, aku mahu jadi lebih baik dari semalam!

Antara usul-usul mock kilat sepanjang latihan hari ini:

  1. Asean+3 : Bagai Melukut di Tepi Gantang
  2. Bola Sepak Kita Kena Sepak
  3. Model Ekonomi Baru : Satu Transformasi
  4. Gosip Mengangkat Populariti Artis
  5. Kereta Hibrid Menjamin Kelestarian Alam Sekitar
  6. Isu Nuklear : Satu Isu Yang Tiada Penyelesaian
  7. Kelestarian Alam Sekitar : Esok Masih Ada
  8. Malam Lebih Gelap Daripada Siang
  9. Integriti Kita Semakin Parah
  10. Pendidikan Kita Semakin Maju
Usul mock penuh :
  1. Semenanjung Malaysia Lebih Baik Daripada Borneo Malaysia

Kerajaan :
Husaini (PM)
Afifah (TPM)
Nadzely (MP)

Pembangkang :
Irma (KP)
Rogayah (P1)
Ain (P2)


Keputusan : Usul ditolak

Pendebat Terbaik : Irma Shukri binti Khodori


"Apabila berpetah, jangan sampai tersalah langkah,
Apabila berkata, beringat badan akan binasa,
Apabila menghakimi, jangan sampai salah ditafsiri,
Apabila bertingkah, beringat sebelum melangkah,
Apabila berucap, jangan terlalu meninggi diri,
Apabila berdebat, beringat
jangan menyerah sebelum kalah!"


suatu waktu dahulu (^_^)

Salam perdebatan buat semua!

Tuesday, May 4, 2010

DEBATE IS COMING (^_^)


Assalamualaikum...


Apa khabar semua? Otak pada hari ini beku. Terlalu banyak cerita, sampai bersimpul-simpul jadinya. Aduh... rasa beban di hati lebih sakit daripada cubitan si manja Irma pagi tadi. Wahai masalah, cepatlah pergi!

Esok latihan debat bermula. DEBAT PISZA. Kawan-kawan, buat yang terbaik ye... Target kita final, so gunakan seluruh kudrat supaya akhirnya kita boleh tersenyum. Aku kali ini mengubah posisi menjadi third speaker. Memang kena lahar habis la, tiba-tiba teringat gaya Adib berhujah, tajam tapi sempoy... Aku nanti macamana agaknya? Seorang teman memberitahu, aku seperti singa betina lagaknya... Kawan-kawan, saya nampak garang ke? Sob..Sob..Sob =(( Maaf, selalulah tegur tentang kesalahan ini.. Aku akui, aku sukar untuk senyum.

Bulan 6, cepatlah datang. Aku mahu semua perkara cepat-cepat selesai. Mudah-mudahan.. Tak sabar menanti semester 3, satu permulaan hidup yang baru dan lebih mencabar. Ya Allah, aku pohon kekuatan daripada-Mu.

Final exam tamat sudah semalam. Aku harapkan result kali ini lebih baik daripada semester lepas. InsyaAllah. Cik AiN.. sekarang, fokus pada debat ok? Debat, debat dan debat. Ya, aku sayangkan debat. Terima kasih Kelab Orator Unit Bahasa Melayu UDM! Kecintaan dan kesungguhan semakin bertambah padu. Semoga kejayaan itu, milik kita bersama. Amin...

Salam.