YOU ALWAYS BURN MY SPIRIT

Thursday, January 28, 2016

Tekanan

Assalamualaikum...

Aku sudah cuba untuk menjadi dan memberi yang terbaik. Tahukah kamu, aku sudah terlalu penat dengan semua tekanan ini? Manis di sini berganti tawar. Ya Allah... Aku mohon berilah aku peluang untuk segera pindah!

Salam.

Tuesday, January 26, 2016

Makna Disebalik Senyum

Assalamualaikum...

Malam tadi Adam menghantar ku pergi dengan senyuman pada bibir. Kali pertama. Dia seolah-olah sudah boleh menerima kenyataan - tentang ibunya. Yang duduk jauh. Yang akan pergi saban minggu. 

Patutkah aku juga berasa gembira dengan perubahan itu - tentang senyuman pada bibirnya. Sesungguhnya aku turut berbalas senyum, tapi dalam paksa, dengan hati yang berat mengandung kesedihan.

Aku yang juga ibunya, tidak boleh mentafsir dengan baik makna senyuman seorang anak kecil. Dia ikhlas membiarkan aku pergi. Aku? Aku tidak ikhlaskah berada di sini?

Maafkan ibu sayang. Minggu ini ibu pulang bersama baran. Sedangkan masa-masa kita bersatu sebagai keluarga terlalu sekejap. Ibu seharusnya berimu kenangan yang indah-indah. 

Hatimu suci. Hanya hati ibu yang kotor. Allah, bersihkan jiwa ku! Aku pohon, biarlah anak-anakku selalu dalam lindungan-Mu!


"Ibu ni... Marah-marah je"
Maafkan ibu sayang!

Salam.


Monday, January 18, 2016

Rindu Yang Dalam

Assalamualaikum...

Adik Sofea mula menangis ditinggalkan. Sofea memandang aku dengan sayu, sungguh-sungguh meraih simpati. 

"Ibu, adik-adik... Ikut!"

Tidak boleh sayang. Ibu sekolah jauh. 

Beginilah kami, bertemu dan berpisah kembali. Hakikatnya, semenjak hampir setahun ini.. Kami lebih banyak berpisah. 

Pada lambaian akhir, aku melihat adik masih menangis. Dari kejauhan.. Ibu doakan semoga kamu dilindung Allah sayang!

Abang Adam hanya memandang sebaik aku melangkah pergi. Pilu wajahnya. Pilu lagi hatiku. 

Matanya tidak berkedip. Aku tahu dia sedih, tapi dia tidak menangis.

"Adam, malam ni Ibu dah kena pergi sekolah jauh. Adam tahu tak?"

"Adam tak tahu... Tak tahulah"

Begitulah setiap kali, dia pura-pura tidak tahu. Meskipun dia sudah mengerti.. Mudah-mudahan dengan 'tak tahu' itu Ibu tidak jadi pergi!


Semoga Allah satukan kita sayang!

Salam.


Wednesday, January 13, 2016

Momy Rogayah

Assalamualaikum...

Badan yang penat hari ini sedikit terubat dengan sekeping gambar dari zaman dulu kala. Petang ini menjadi nostalgia. Bahagia sungguh menatap gambar yang sekeping itu. 

Persahabatan yang punya banyak kisah. 

Rogayah. Dia yang selalu menjadi mangsa keji dan maki aku. Dia yang selalu baik, ada di mana aku ada. Setiap kali pun, dialah pendengar, peneman yang tersangat setia. 

Meskipun pernah sekali persahabatan hampir hilang seri, tapi hati tidak pernah bilang benci. Maafkan aku! Allah, tolong jagakan sahabatku Rogayah Ghozi. 


Mana mungkin boleh dicari ganti seorang Rogayah?

Salam.

Tuesday, January 12, 2016

Ibu Bukan Ibu

Assalamualaikum...

Begitulah hari-hari. Lebih sesak lagi malam ini tiada bicara dari anak kecil. Anak kecil itu demam. Sudah tidur barangkali. Aku yang bukan Ibu hanya berdoa dari jauh, semoga Allah berikan kesembuhan dan perlindungan buatmu sayang.

Bukankah seorang Ibu harus ada di sisi anaknya pada saat-saat begini? Sebab itu aku bukan Ibu. 

Salam.

Monday, January 11, 2016

Minggu Jauh, Hari - Satu

Assalamualaikum...

Malam ini sunyi dan berat. Ingatan yang selalu tertumpu pada wajah dua orang anak kecil itu buat aku jadi letih, lesu. Apakah ayat-ayat binaan ku akan sering begini?

Bermula lagi seminggu yang panjang. Yang menyesakkan. Sudah tentu aku sudah mula menghitung hari pulang!

Salam.

Friday, January 8, 2016

Budi Tanah Serdang

Assalamualaikum...

Suara anak kecil yang ketawa dan menangis terngiang-ngiang di telinga. Malam ini... Kerinduan membawa ingatanku pada wajah-wajah permata hati yang jauh di sana. Hati dikepung rindu. Rindu untuk mendengar ketawa mereka. Rindu melihat mereka menangis. Kemudian ketawa lagi dan sambung bermain. Kerinduan ini sungguh menyeksakan. Rindu juga mahu mendengar anak-anak kecil itu memanggil aku "Ibu... Ibu."

Ibu di sini digenang air mata.

Setiap kali, aku ibu yang tewas. Tanah Serdang, di manakah letaknya kekuatan?
Air mataku tumpah lagi.

Salam.