Tangan yang bergari dipakai megah seolah-olah selesa. Bibir manis mengukir senyum, walau jiwa robek hancur binasa. Tiada langsung bayang mata yang sayu tanda kembali pada Pencipta. Jiwa yang robek masih kebal, tidak merasa dosa. Malang buat seorang gadis desa.
Sukar untuk menyelami jiwanya. Dia berkata-kata sepatah-sepatah. Bicaranya tidak banyak. Suara seperti tersekat di kerongkong. Ada cerita yang ditanam, ada derita yang dipendam. Namun, sekali ini... Lidahnya laju mengaku sebagai anak luar nikah. Terus-terang mengatakan dia anak terbuang. Katanya anak miskin dilarang sekolah, berhenti setakat tingkatan empat. Sayang. Dia melihat masa depan yang gelap. Dia mengurung minda yang mahu berjuang. Jihadnya dalam hidup ini pudar. Harapan yang telah putus. Dia kelihatan redha. Dia menerimanya dengan tenang. Namun, sekali ini.... Sayang lagi kerana dia sudah kehilangan deria insaf!
Jiwa yang robek itu hitam. Kasihan. Aku memandangnya dengan rasa yang belas.
Kekasih agungnya melarikan diri sebaik sahaja dibicarakan di mahkamah. Ribut taufan menelan semua janji. Yang tinggal hanya debu. Yang bersisa hanyalah harapan palsu. Dia semakin seorang. Semakin ditinggalkan.
Bau penjara hapak. Semua banduan lelaki berkepala botak. Aku melihatnya dengan gerun. Dia hanya memandang sambil tersenyum. Dengan tangan yang masih bergari. Sungguh-sungguh tenang. Aku hairan. Terkesima dengan perlakuan seorang bakal bantuan.
Kali ini benar, jiwa yang robek itu telah mati!
Ya Allah... Peliharalah gadis itu. Hidupkan jiwanya. Biar dia sedar bahawa dia masih mampu menjadi hamba yang mulia di sisi-Mu. Kembalikan dia ke jalan pulang!
Pengajaran ini wajib bagiku. Jauhkanlah aku daripada segala musibah Ya Allah. Kata Bonda, aku adalah antara anak-anaknya yang sentiasa dimurahi oleh Allah. Sejak dari dulu lagi... Aku terkenang peristiwa ketika aku hampir lemas. Betapa Allah sayang... Peristiwa aku kemalangan. Betapa Allah selalu memberikan pengajaran. Peristiwa kehilngan buku di library sewaktu darjah 6, dan nikmat penyelesaian yang Allah berikan... Ya Allah... Betapa Allah sungguh sayang. Aku leka. Kadang terlupa untuk bersyukur. Ampunkan aku Ya Allah.
Saat menempuhi pelbagai ranjau dalam hidup tentulah sukar. Allah sentiasa kasihi hamba-hambaNya. Allah Maha Pemurah, Maha mengampuni. Ingat Allah. Mesti sentiasa ingat Allah. Pasti ada kesenangan selepas kesulitan. InsyaAllah.
-Maaf. Aku masih lagi dalam proses mengubati hati. Apa guna teman yang seorang jika terus menyakitkanmu dan disakitimu-
Aku melihat hukuman manusia. Moga terampun dosa di dunia. Namu jangan dilupa balasan di akhirat sana. Bertaubatlah. Bertaubat... Agar hukuman dunia ini turut sama menghapuskan dosa pada Hari Pembalasan.
Nota: Cik Ain diberi peluang untuk membawa seorang OKT ke Penjara Pengkalan Chepa bersama para pegawai Pejabat Agama Daerah. OKT tersebut disabitkan kesalahan khalwat Seksyen 31 (b) Enakmen Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001. Hakim Mahkamah Rendah Syariah telah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau 1 bulan penjara jika gagal membayar denda yang ditetapkan. Untuk rekod, OKT tersebut baru berusia 18 tahun manakala pasangannya berusia 22 tahun.
Salam.
No comments:
Post a Comment