Dia tidak menghalang. Malah ketika aku memohon untuk pergi, dia hanya diam. Aku tidak menunggu lama. Laju aku mulakan gerak. Lagaknya hanya biasa-biasa saja, tidak menunjukkan resah. Sedang mataku pedih, cuba menahan air masin. Bungkusan itu aku genggam erat.
Usai Aya dan Kak Nor aku salami, aku melangkah perlahan-lahan. Lemah. Mata ini bergilir pejam dan celik. Nafas tidak sekata, turun dan naik. Fikiran telah lama terbang, semakin jauh. Seiring dengan itu, langkah juga perlahan. Aku berjalan lambat-lambat. Kebisingan kota seolahnya bisu. Aku seolahnya pekak. Tidak mendengar apa-apa. Degup jantungku kencang. Aku seharusnya buntu.
Di dalam masjid yang serba putih itu, aku memilih ruang berbucu. Badan berasa lega apabila bersandar. Kaki terjulur. Hatiku panas. Peluh memercik. Mataku pejam, cuba mencari damai. Aku tidak segera solat. Usaha untuk cuba mengosongkan ruang fikiran ternyata sia-sia. Aku masih juga ralit memikirkan tentangnya. Sungguh-sungguh. Dan mutiara itu gugur jua tanpa ku sedar, akhirnya. Aku tetap tewas dengan air mata.
"Cepatlah datang. Aku mahu lari." Aku berasa sangat keseorangan. Sunyi.
Dia pergi sudah lama. Ketika itu, aku sedang sibuk mencari cara untuk mencuri hati Bonda. Dia pergi atas dasar janji. Mungkin juga perjalanan jauh itu bertujuan mengubat hati. Entahlah. Perhubungan ini sangat rumit. Sepanjang tempoh itu, diriku sengaja tidak dihubungi. Kami putus talian. Aku hanya mampu memendam sayang. Gurisan itu buat hatiku pedih.
Aku cuba bina kekuatan. Aku mesti percaya. Biar berjauhan. moga terkesan rasa sayang.
Sewaktu aku memandang lantai, aku tahu ada mata-mata liar yang memerhatikanku. Sewaktu aku angkatkan wajah, bebola mata mereka segera berlalu. Mataku yang merah berlawanan arah. Wajah mereka menerbitkan tanda soal. Aku tersenyum, sembunyikan kedukaan sambil mencipta rupa letih. Mutiara-mutiara itu segera cair. Moga mereka tidak salah faham. Aku tidak menangis. Ya, tidak.
Kepala masih lagi bersandar pada jam 1520. Sudah lewat. Aku patut segera tunaikan Zohor. Tapi, kedudukkanku di sudut itu kejap. Ada beberapa mesej yang masuk. Aku segera membalasnya. Namun, balasan selepasnya tidak ku terima. Ah. Aku membayangkan masa depan yang kelam. Kiri dan kanan tiada insan. Bahu kiri dan bahu kanan sama-sama rebah. Aku spontan memeluk lutut. Mata kembali merah. Aku yakin aku kuat.
Syaitan makin galak menggoda. Jam 1530. Aku mula malu pada jemaah yang lain. Kaki bingkas bangun. Kali ini kakiku melangkah deras ke bilik wuduk.
Telefon tiba-tiba berdering sama padan ketika pili ku buka. Air yang mengalir tidak ditutup. Percikkannya menyejukkan kaki yang penat sepanjang hari ini. Aku jawab, tapi tidak bersuara. Di seberang sana jelas kedengaran bunyi angin. Aku tahu dia berada di dalam mobil yang hidup, sedang di atas jalanan.
"Tunggu sekejap lagi." Tuturnya dalam nada yang sekata. Ringkas.
Aku mematikan sambungan. Egois seorang wanita. Aku gembira dia datang. Tapi biarlah ikhlas, bukan kerana terpaksa. Dia sendiri yang memilih untuk jarakkan perhubungan ini. Salah akukah?
Aku terduduk. Dan kali ini aku benar-benar menangis. Aku tidak tahu mengapa aku berasa sangat-sangat terluka dengan segalanya.
Kali ini juga, aku biarkan saja mata-mata liar yang memerhati. Normal jika begitu reaksi mereka. Aku pejalkan hati sewaktu memandang Kaabah. Aku mahu sujud. Ya Allah, permudahkanlah segala urusan hidupku. Hatiku sudah dilanda ribut. Aku berserah hati kepadaNya.
bersambung...
No comments:
Post a Comment