YOU ALWAYS BURN MY SPIRIT

Monday, November 29, 2010

MAHASISWA KITA 'BUTA'


Assalamualaikum...

Sebelum jari ini rancak menulis, mohon seribu kemaafan kepada mereka yang 'terasa'. Bukan mahu mengaibkan, tapi jadikanlah ini sebagai kisah teladan. Biarlah aku dituduh sengaja membuka pekung di dada. Namun, inilah realitinya, mahasiswa kita 'buta'.

Setiap kali berkunjung, mata akan dijamah dengan pemandangan yang sama. Kadang-kadang aku menutup mata sambil menggeleng-gelengkan kepala. Tanpa sedar, ramai sebenarnya yang berasa selesa. Selesa dengan keadaan meja-meja yang menjadi tempat persinggahan setia bagi setiap gelas plastik yang tidak beisi. Juga ada dalam kalangan mereka kelihatan selesa meninggalkan sisa makanan begitu sahaja setelah selesai menjamu selera.

Ah. Mata segera mengalihkan pandangan. Biarlah gelas plastik tu kat situ. Desis hati.

Si buta berlalu pergi. Tangan sengaja membiarkan. Hati, jauh sekali mahu mengakui bahawa tindakan itu sebenarnya menjatuhkan moral. Sampah-sarap dan pinggan-pinggan kosong itu, dibiarkan bukan pada tempatnya. Walhal, tong-tong sampah di kawasan sekitar, kebanyakkannya kosong. Besen yang disediakan juga, tidak penuh berisi.

Aduh! Mahasiswa, janganlah jadi buta.

Ah. Tidak mengapa. Apa gunanya ada pekerja? Nanti mereka datang kutip. Kalau tak buat kerja, mereka makan gaji buta. Baik tinggalkan saja sampah-sampah tu, pekerja-pekerja jangan tahu goyang kaki semata-mata, pemalas!


Hahaha. Mereka yang buta, atau kamu yang buta? Mereka yang pemalas atau kamu yang pemalas? Hahaha. Kasihan, kamu mahasiswa buta yang punyai intelektual!

Keadaan yang kotor itu, kita sendiri yang cipta. Setiap kali mahu makan, setiap kali mahu duduk di meja, setiap kali mahu mengajak teman bersembang, setiap kali itu juga kita akan mencari tempat yang PALING BERSIH. Mengapa?

Dahtu... Takkanlah nak duduk tempat kotor pulak. Mestilah nak duduk tempat paling bersih.


Hahaha. Tempat itu jadi kotor sebab kamu. Kamu, mahasiswa buta. Tahu kepentingan kebersihan. Namun, tidak pernah mahu menjaga kebersihan. Hati kamu buta. Mata kamu seolah-olah pejam. Keadaan kotor itu, kamulah yang buat!

Habis, kalau semua orang buang sampah dalam tong sampah, nanti sampah-sampah tu melimpah-limpah jugak. Kotor gak keadaannya!

Mana lebih baik? Melimpah di tong sampah atau sampah-sampah itu dibiarkan berada di mana-mana di segenap ruang? Kalau masalah tong sampah melimpah berterusan, gunalah hak mahasiswa supaya tong-tong lebih banyak disediakan. Kebersihan kan, tanggungjawab bersama?

Mesej yang aku ingin sampaikan, bukanlah terlalu berat untuk dilaksanakan.

JANGAN TINGGALKAN SAMPAH MERATA-RATA.
Aku tidak gunakan istilah 'buang' sebab kebanyakkan daripada kita memang tak buang sampah merata-rata, tapi tinggalkan sampah merata-rata.

LETAKKAN PINGGAN YANG TELAH DIGUNAKAN KE DALAM BEKAS YANG DISEDIAKAN.
Macam kat rumah, sopan ke lepas makan tinggal pinggan atas meja pastu tunggu mak kita kutip? Bukan payah pun, letak dalam besen je. Tak suruh basuh. Cuma 'letak'.

Aku bukanlah 'sesiapa' untuk kamu terima setiap bicara yang disampaikan. Aku juga mahasiswa, seperti kamu. Cumanya, aku selalu mendidik hati supaya tidak jadi buta. Andai setiap daripada kita selalu bersikap begini, masalah kebersihan cepat sahaja langsai. Indahnya suasana!


-Pemandangan ini sangat tidak indah-

-Setiap meja jadi tempat 'parking'-

Jom sama-sama kita jaga kebersihan. Cintailah kawasan kampus kita.

Rasulullah SAW bersabda:

"Kebersihan itu dapat mengajak seseorang kepada iman. Sedang iman akan bersama pemiliknya ke syurga."

-Riwayat Thabrani-

Salam.

No comments:

Post a Comment