Anak itu ibarat harta. KurniaanNya yang punya nilai di akhirat dan di dunia. Si bapa datang bercerita perihal anak yang hilang, dilarikan orang. Sebak di dada, sebal di jiwanya. Hartanya diculik.
Si bapa kelihatan tenang. Gelora mulai reda, selepas melalui dua hari yang penuh getir. Dan hari ini dia mulai rasional. Selesai membuat laporan polis, dia datang ke sini.
Ceritanya, kejadian berlaku terlalu pantas. Hanya di hadapan mata. Anak yang dipanggil tidak menyahut, kaku membatu. Lelaki yang melarikan anaknya tidak pernah dikenal walaupun lelaki tersebut terkenal. Sayang, tiada siapa yang tahu latar belakangnya dan siapa kerabatnya. Jejaknya tinggal nokhtah buat waktu ini. Semua orang buntu.
Kisah gadis ini mengingatkan aku kepada seseorang. Kisah gadis ini turut menjadi igauan. Kisah tentang seorang gadis yang akhirnya telah melengkapkan penghujung sebuah cerita percintaan. Putus tanpa penjelasan. Kesal kemudian bertandang. Jangan jadi wanita bodoh! Jalan cerita yang berbeza, tapi pengakhirannya serupa.
Sesetengah keadaan boleh membuatkan kita jadi gila. Tidak waras tiba-tiba walau hakikatnya minda masih normal. Bahana tatkala kehilangan rasional. Akibatnya sangat menyakitkan.
Anak-anak, jentiklah hati. Sedarlah diri, kamu tidak mungkin akan lahir ke dunia ini tanpa kedua-dua orang tuamu. Taat, selagi mereka masih bernyawa.
Nota: Seorang bapa telah datang ke PAD dan membuat laporan ke atas kehilangan anak perempuannya. Beliau telah memohon agar PAD dapat memberi maklumat sekiranya terdapat sebarang tangkapan atau laporan daripada orang awam yang melibatkan anak perempuannya. Untuk rekod, anak perempuan beliau telah dilarikan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di hadapan sebuah sebuah restoran pada pukul 4.oo pagi. Keesokan harinya, anak perempuan beliau menghantar mesej mengatakan bahawa dia telah bernikah dengan lelaki tersebut. Sehingga kini, beliau masih gagal mengesan lokasi anaknya berada.
Salam.
No comments:
Post a Comment