YOU ALWAYS BURN MY SPIRIT

Sunday, April 18, 2010

IBARAT TEH YANG TAWAR



Assalamualaikum...

Baru sahaja selesai makan tengah hari di Jentayu. Terima kasih Jentayu, lauk-pauk memang memenuhi selera. Banyak idea yang timbul tengah hari ini. Ada seorang teman bertanya tentang sasaran hidup selepas bergelar mahasiswi. Aku pantas menjawab, "Saya nak kahwin, nak jadi isteri". Semakin seronok apabila melihat mimik mukanya berubah dan bertanya kembali, mempersoalkan jawapan rutin seorang perempuan. Soalnya, mahasiswi ingin menjadi isteri? Ya, aku mahasiswi dan mahu menjadi isteri.

Memang sangat teringin untuk bekerjaya, namun dalam keadaan yang sekarang ini, itu paling utama. Mahasiswi dan isteri, perancangan mesti teliti. Tidak perlu bercerita panjang untuk menjelaskan situasi, cukup sekadar jawapan pendek penuh berisi. Teman yang tadi terus bercerita panjang lebar tentang matlamat dan sasaran hidupnya. Seorang lagi teman, yang mempunyai wawasan tinggi. Ramai kawan-kawan lelakiku yang terdiri daripada kelompok ini, lelaki berwawasan. Aku tidak terkejut dengan perancangan hidupnya yang agak 'workaholic'. Memang itulah dirinya. Dan seolah-olah tidak dapat dipisahkan daripada fenomena, lelaki berwawasan sangat suka jika pasangannya juga turut berwawasan. Dalam erti kata lain, aku perasan bahawa lelaki jenis ini suka akan perempuan yang berpandangan jauh dan sentiasa ke depan. Aku tidak tahu sejauh mana kebenarannya, kerana kata-kata ini bukan berdasarkan fakta, cuma berdasarkan pemerhatian. Perbualan berakhir dengan seribu satu rahsia apabila dia sendiri mahu menutup al-kisah seorang wanita pilihan.

Ramai teman-teman berbicara mengenai trend berkahwin sewaktu belajar. Pada aku, ada manis dan ada pahitnya. Yang pertama, memenuhi tuntutan agama. Namun, walaupun berkahwin, jangan pula sehingga jadi lupa pada pelajaran. Kedua-duanya mestilah saling memahami dan melengkapi, jika itu sudah menjadi keputusan yang dipersetujui. Perkara paling penting, harus kuat, dan berhikmah ketika mengharungi hidup berdua dalam usia yang masih muda.

Aku juga mempunyai matlamat dan sasaran. Penuh dengan cita-cita melangit tinggi dan angan-angan. Aku sedang berusaha untuk melakarkan impian itu di atas kertas, dan sedang mencuba sedaya upaya agar tuntutan hidup dapat dicapai. Alangkah indah, tatkala impian itu akhirnya menjadi kenyataan. InsyaAllah.

Tengah hari tadi juga, seorang temanku ini sangat bijak bermain dengan emosi sendiri. Aku cuba meneka dan menuntut jawapan yang betul, tetapi tidak berjaya. Katanya, jika tidak pandai memujuk, jangan cuba memujuk menggunakan nada yang terketar-ketar. Jika mahu berbohong, berbohonglah dengan orang yang lurus. Aku terpukul. Aku tahu dia bukanlah seorang yang lurus, kerana mindanya sentiasa bercabang-cabang dan penuh dengan cetusan-cetusan pemikiran yang sukar diduga. Dia sebenarnya terluka. Hatinya terkunci dari dalam, oleh itu sukar untuk aku membuka pintunya dari luar. Aku memang rasa serba salah. Ternyata, sikapnya sangat sukar diduga. Tapi aku tahu isi hatinya, cuma terlalu payah untuk diluahkan. Dia memang handal meyorok perasaan, sehingga tidak dapat dikesan apa rasa jiwanya.

Ragam hidup, kisah manusia. Kita mesti optimis. Ramai orang yang tidak tahu siapa kita. Muka depan bukanlah cermin untuk isi di dalam. Mudah bagi orang lain melabel kita itu dan ini walhal mereka belum pun cuba untuk mengenal hati nurani. Sebab itu, akhlak dikatakan hiasan peribadi, jatuh ke hati dan bertaut budi sampailah mati.

Buat temanku:

Tabahlah menempuh ujian yang diberi, pasti ada hikmah yang menanti. Jangan gusar memikirkan soal hati, pasti akan tiba saatnya nanti. Senyumlah dengan manis, senyumanmu ibarat penawar bagi diriku ini.

Sekadar memetik cebisan kata-kata daripada Genta Rasa:

"Jangan disangka hanya Siti Hajar sahaja yang menderita ditinggalkan, tetapi bayangkanlah juga derita suaminya Nabi Ibrahim yang “meninggalkan”. Kekadang orang yang meninggalkan lebih perit dan sakit penanggungannya daripada orang yang ditinggalkan. Namun apakah pilihan Ibrahim, bila cinta Allah berbicara, cinta yang lain akan membisu seribu bahasa… Pasti ada Jannah di sebalik musibah..."

Salam.

No comments:

Post a Comment