YOU ALWAYS BURN MY SPIRIT

Friday, June 4, 2010

KEMBALIKAN KEGEMILANGAN SULTAN ZAINAL ABIDIN


Assalamualaikum...

Baru sahaja dua semester, tapi aku sudah bertukar ke dua buah universiti. Pertamanya Universiti Darul Iman Malaysia (UDM). Universiti terbaruku, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Sebagaimana lazimnya, proses penjenamaan semula UDM kepada UniSZA baru-baru ini banyak menerima komentar yang pro dan kontra.

Yang buruknya, kata orang penjenamaan semula ini merupakan satu pembaziran. Natijahnya bukan sahaja terhadap universiti, malahan siswa siswi turut berasa tempiasnya. Masakan tidak, mereka pasti risau sekiranya peruntukan terhadap kebajikan pelajar akan turut sama terkorban semata-mata hanya untuk menjayakan penjenamaan semula ini. Kata mereka, nama sahaja yang bertukar, namun relalitinya, roh UDM masih belum sirna. Ada cakap-cakap orang yang berkata, "Entah-entah masuk semester baru nanti bas pun masih lagi tertulis UDM". Persoalan yang diajukan, mananya UniSZA? Bagi golongan pelajar-pelajar ini, mereka mungkin tidak sedar bahawa proses penjenamaa semula ini sebenarnya memakan masa. Semuanya tidak akan berubah dan bertukar sekelip mata. Kisah penjenamaan semula ini bukannya seperti kisah orang gaji yang bertukar menjadi sang puteri hanya dalam satu malam, persis dongeng Cinderella. UniSZA perlu diberi tempoh penjenamaan yang sewajarnya. Sama juga dengan UDM, yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA). Hingga kini, roh KUSZA masih lagi hidup, walau tinggal nyawa-nyawa ikan. Kata-kata orang lagi, UDM pun masih belum terkenal, inikan pula mahu bertukar lagi menjadi UniSZA!

Namun, berbeza dengan aku. Aku suka UDM menjadi UniSZA. Kerana nama Sultan Zainal Abidin. Semuanya bermula dengan satu nama. Suatu ketika dahulu KUSZA disegani sebagai sebuah pusat pengajian tinggi Islam yang terkenal sehingga ke Timur Tengah. Penubuhan KUSZA sejak 27 Januari 1980 telah melahirkan ramai tokoh cendiakawan yang unggul. Sehingga kini, ramai tenaga pengajar yang berkhidmat di UniSZA merupakan bekas pelajar KUSZA yang cemerlang dan berjaya melanjutkan pelajaran mereka di rantau Arab. Nama Sultan Zainal Abidin pada KUSZA diambil sempena nama pengasas kesultanan Terengganu, iaitu Tun Zainal Abidin yang merupakan putera Tun Habib Abdul Majid. Selain itu, Sultan Zainal Abidin III merupakan Sultan Terengganu ke-11 menggantikan ayahanda baginda, iaitu Sultan Ahmad Muazzam Shah.

Sultan Zainal Abidin III diakui oleh beberapa orang ulama Mekah dan para cendiakawan Islam terkenal bahawa beliau merupakan seorang Sultan Melayu yang paling alim dan ahli ilmi pada zamannya. Dua orang ulama yang sering menjadi tempat baginda merujuk masalah ialah Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Mereka ialah dua orang ulama yang berasal dari dunia Melayu dan menetap di Mekah. Keunggulan Sultan Zainal Abidin lantas membuatkan aku jatuh cinta pada nama dan peribadi baginda. Ketokohan baginda membuktikan kepada rakyat jelata betapa gemilangnya Sultan Zainal Abidin sebagai pemerintah negeri Terengganu suatu waktu dahulu.

Berbicara tentang sejarah, seolah-olah membuatkan aku ingin kembali ke masa lampau. Aku mahu melihat hebatnya KUSZA sebagai sebuah empayar ilmu. Aku mahu mengintai ketokohan Sultan Zainal Abidin sehinggakan namanya terpahat di beberapa tempat tersohor di Terengganu. Apabila nama Universiti Darul Iman akhirnya ditukar kepada Universiti Sultan Zainal Abidin, aku gembira mengenangkan kegemilangan zaman silam.

Namun, aku terpaksa tunduk kepada kenyataan. Sebaik sahaja KUSZA beralih kepada UDM banyak berlaku perubahan. Terutama dari segi mualamatnya, pakaian pelajar-pelajarnya dan sosialnya. Benar, KUSZA kini sudah menjadi sebuah universiti - jadi adakah suasana juga harus sama seperti tahap sosial universiti-universiti lain? Aku tidak pernah merasai zaman gemilangnya KUSZA, tapi aku berasa suka dan indah tatkala mendengarkan kisah-kisah tentangnya. Aku tiba-tiba jadi rindu. Aku harapkan sesuatu yang baru. UniSZA tidak akan jadi gemilang jika kita semua tidak bergerak dan tidak berusaha untuk mengubah identitinya. Warga UniSZA perlu berusaha keras untuk memastikan bahawa penjenamaan semula ini bukannya satu pembaziran, sebaliknya satu rahmat. Aku sayangnya kesemuanya, kerana aku tahu aku berada pada satu jasad yang sama, walau datang roh yang berlainan jiwa. KUSZA, UDM mahupun UniSZA, aku bukanlah berpijak pada bumi yang berbeza. Aku rindukan kegemilangan Sultan Zainal Abidin, kerana aku percaya pada nama, ditambah pula aku sebenarnya yakin dengan hikmah Tuhan.

Secebis petikan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani mengenai Sultan Zainal Abidin III:

"Bagaikan laut, pemurah tiada tepi
Bagaikan hujan, penolong tiada beza
Memberi sebelum diminta
Itulah Sultan Terengganu
Raja yang berani
Bermurah, dan bertuah."

Syair Tuan Hampris:


"Negeri khabarnya itu
Seorang raja memerintah tentu
Adil dan murah bukanlah suatu
Sangatlah alim paduka ratu
Perangainya alim tangannya murah
Sekalian kasih memandang wajah."


Salam.

13 comments:

  1. Assalamualaikum NA,

    Saya fikir saya berbeda pendapat dengan cik Ain.Permulaan UDM adalah KUSZA.Sebuah kolej milikan penuh kerajaan negeri.Kemudian ditukar menjadi UDM dan sekarang UNISZA.Persoalannya mengapa perlu diletakkan nama sultan?sudah ada banyak sekolah diletakkan nama sultan seperti SMAAZA (Atas) dan SMAAZAL (Ladang)Airport diletakkan nama sultan,stadium yg runtuh itu pon diletakkn nama sultan..sebenarnya kita dh ade byk institusi yg diletakn nama oleh golongan monarki...utk menjenamakan sesebuah menara gading harus diubah dlm soal struktur dan isi kandungan...bukannya nama dan gelaran semata2...itu pndangan sy....

    ReplyDelete
  2. Salam saudara Iskandar...

    Segalanya bermula dengan nama. Bagaimana seseorang yang berketurunan raja menjaga darjat keturunannnya yang bergelar Tengku, Raja dan sebagainya. Sebab itu, nama Sultan Zainal Abidin banyak diabadikan pada banyak tempat, itu mercu tanda raja berdaulat. KUSZA dahulunya gemilang kerana kita sama-sama beringat atas nama yang kita junjung dan kita hormati. Anda bukan pelajar UDM. Mungkin kata-kata ini agak kasar, tapi secara jujurnya saya berasa kesal dengan perubahan yang berlaku sebaik sahaja KUSZA dinaiktaraf menjadi sebuah universiti. Anda tidak merasai, tapi sebagai pelajar UDM, saya berasa malu, roh KUSZA seolah-olah tercemar dek peralihan ini. Saya sebenarnya tidak kisah namanya berubah menjadi UDM. Saya cuma kisah suasananya berubah secara drastik, biah islamiyah tidak lagi kukuh berdiri.

    Berkenaan isi kandungan dan strukturnya, pada saya tiada masalah. Pengurusan dan pentadbiran seluruh IPTA adalah sama, cuma diaplikasi dalam konsep yang berbeza. Asasnya, masih lagi sama. Saya cuma berharap, penjenamaan semula kepada UniSZA akan membawa perubahan yang besar terhadap suasana. Saya mahu UniSZA berbeza daripada universiti-universiti lain dari segi ketinggian sahsiah dan moralnya. Sebab itu, nama dan gelaran merupakan satu anjakan paradigma yang cukup penting supaya kita sama-sama bangkit berdiri, mempertahankan kegemilangan Sultan Zainal Abidin.

    Hanya sekadar pandangan, kerana saya tahu tidak ramai yang menyokong usaha penjenamaan semula ini.

    Salam.

    ReplyDelete
  3. saya pernah terbaca ada artikel yang mencadangkan supaya UMT dan UDM digabung menjadi UNISZA, sekiranya ia berlaku.. saya sangatlah setuju..

    saya juga setuju supaya nilai Islam diterapkan semula dalam UNISZA, mungkin konsep yg diamalkan KUIN (kolej universiti insaniah) boleh diCEDUK dan diperkemaskan lagi dalam UNISZA terutamanya dalam usaha memantapkan nilai moral dan sahsiah dikalangan warganya..

    ReplyDelete
  4. Salam...

    To Anonymous:

    Saya juga pernah terbaca artikel yang menuntut supaya KUSZA dikekalkan sebagai sebuah kolej milikan penuh kerajaan negeri. Dan dalam artikel tersebut juga menuntut supaya UDM diwujudkan sebagai sebuah universiti baru tanpa melibatkan soal naik taraf KUSZA kepada UDM.

    Saya juga mengharapkan agar UniSZA dapat menerapkan kembali nilai-nilai Islam demi memantapkan sahsiah warganya dek kerana ancaman moral yang semakin membimbangkan. Konsep yang dipraktikkan oleh KUIN pada hemat saya juga amat sesuai untuk diceduk dan digunapakai oleh UniSZA kerana konsep asal KUIN juga diceduk daripada Universiti Al-Azhar. Malahan, KUSZA juga boleh dijadikan contoh terbaik kepada UniSZA, agar kita sama-sama dapat merasai nikmatnya berada di bawah rahmat Allah... InsyaAllah.

    ReplyDelete
  5. hakikatnya proses penukaran UDM ke KUisZA ADALAH KERJA-KERJA BODOH, yang membazirkan duit rakyat, masa rakyat, dan tenaga rakyat.

    kerja-kerja bodoh ini menjadikan rakyat terbeban, terima lah hakikat ini, saya sangat setuju KUSZA ditukar kepada UNISZA tetapi saya tidak setuju KUSZA ditukar kepada UDM dan kemudian ditukar kepada UNisZA. Sepatutnya kajian terperinci dibuat sebelum nama UDM dipilih.

    Saya rasa ini semuanya angkara "politik", saya difahamkan UDM adalah janji politik dan akhirnya UDM menelan KUSZA, kini KUSZA kembali dibebaskan dan seterusnya UDM terbubar.

    Dengan wujudnya UNISZA secara tidak langsung telah mewujudkan satu penipuan "politik" terhadap rakyat terengganu.

    Ini kerana satu ketika dahulu, janji politik ialah mewujudkan sebuah universiti untuk rakyat terengganu. UDM adalah sebahagian daripada janjinya. Kini dengan penjenamaan semula UDM secara rasminya. UDM terbubar dan KUSZA telah naiktaraf menjadi UNISZA.

    So dimana UDM? so sebagai rakyat terengganu perlu menuntut kerajaan membina sebuah universiti baru yang dinamakan UDM. UDM dan Unisza wajar diwujudkan secara berasingan.

    Disini ada dua isu berasingan :

    1. Penutupan UDM adalah kerugian untuk rakyat terengganu, kerana ia adalah sebahagian "janji politik".

    2. KUSZA dibubarkan dahulu adalah kerana kerakusan "politik pihak tertentu", alhamdulillah, KUSZA dihidupkan semula dengan nama baru UNISZA.

    3. UDM perlu diwujudkan semula sebagai entiti berasingan, khas untuk rakyat terengganu sebagai tanda "merealisasikan janji politik terdahulu" sebagai timbal balas royalti minyak untuk rakyat terengganu kepada kerajaan persekutuan.

    4. Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa perlu banyak universiti? kalau tiada kualiti? Ini dua isu berbeza, kuantiti tetap perlu ditambahkan bagi memberi peluang lebih ramai menuntut ilmu terutamanya melayu. Persoalan dapat kerja atau tidak, itu kita serah kepada kebijaksanaan kerajaan dan mahasiswa itu sendiri. Apa yang penting mereka memiliki ilmu.

    ReplyDelete
  6. "don't judge book by its cover".pepatah Inggeris ini bermaksud "jangan nilai buku berdasarkan kulit buku".

    Pepatah ini bermakna kita jangan menilai sesuatu berdasarkan kepada nama.Ada apa pada nama?Ya.Sultan kita berdaulat.Negeri Terengganu sememangnya terkenal sebagai pusat pengajian Islam yang tidak keterlaluan jika saya mengatakan setanding dengan Kelantan.

    Sejarah negeri Terengganu sendiri menunjukkan keakraban golongan istana dengan institusi ulama.Dalam usaha untuk memastikan pembanguna sahsiah dan moral dipertingkatkan adalah dengan menambahbaikan mana-mana kelompangan yang ada.

    Biah Islamiyah boleh diwujudkan jika ada keprihatinan serius oleh pihak pengurusan universiti itu sendiri.Saya merasa pelik kenapa nama universiti perlu ditukar kerap kali.Jika nama itu ditukar kerana penaiktarafan dari sebuah kolej universiti kepada universiti maka itu sesuatu yang wajar seperti KUSZA=UDM,KUSTEM=UMT dan lain-lain.

    Penjenamaan semula bukanlah isu bagi saya tetapi soal kerasionalan meletakkan nama golongan monarki secara keterlaluan.

    ReplyDelete
  7. To Anonymous:

    Kata-kata anda tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa penukaran KUSZA-UDM-UniSZA adalah satu kerja bodoh. Benar, satu perancangan yang perlu teliti sewajarnya dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum menggantikan KUSZA kepada UDM.

    Namun, kebenaran memang pahit untuk ditelan. KUSZA telah pun dinaiktaraf kepada UDM. Dan akhirnya, untuk memperbetulkan kesilapan, sekali lagi UDM ini berubah nama menjadi UniSZA. Lumrah, manusia belajar daripada kesilapan. Dan perubahan yang berlaku ini adalah satu usaha untuk memperbetulkan kembali kesilapan yang lapuk.

    Warga UDM dahulunya memang menjadi mangsa kerakusan politik. Segala-galanya telah berlalu. Saya tidak mahu isu ini dipolitikan. Saya juga mengaku saya bodoh kerana menutup mata dan memekakkan telinga terhadap hal ini, tapi saya lebih selesa membuka hati dan menadah tangan untuk menerima penjenamaan semula ini. Bercerita tentang politik, hati manusia tidak akan pernah puas.

    Saya bersetuju sekiranya UDM diwujudkan sebagai satu entiti yang baru. Namun hal ini mungkin akan menimbulkan kekeliruan kepada umum kerana UDM pernah wujud sebagai "bekas" UniSZA.

    Tidak mengapalah, tidak kira apa-apa jua isu, saya tetap sayangkan KUSZA-UDM-UniSZA. Saya rindukan kegemilangan Sultan Zainal Abidin. Saya optimis menjadi warga UniSZA =)

    Terima kasih atas komen anda (^_^)
    Salam...

    ReplyDelete
  8. To Abdul Muiz bin Azmi:

    Pada hemat saya, tidak mengapa kita meletakkan nama sultan di mana-mana, itu ialah lambang raja berdaulat.

    Ada apa pada nama? Cuba bayangkan jika diri anda tidak bernama. Cuba bayangkan jika anda dilahirkan dan tidak diberikan nama oleh ibu bapa anda. Cuba anda ingat kembali kisah Ahmad Albab arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Ceritanya membawa mesej yang mudah, satu nama terkandung seribu satu rahsia.

    Hatta kita sendiri berasa malu jika nama tercemar. Contoh paling mudah, Lorong Haji Taib di Kuala Lumpur, cukup popular dengan sebagai lembah pelacuran. Bayangkan, bagaimana maruah keluarga Haji Taib. Masih ingin tahu ada apa dengan nama? Kenapa anada tidak menggunakan nama Abdul Muiz Azmi tapi menggunakan gelaran Iskandar Zulkarnian? Ada apa dengan nama Iskandar Zulkarnain?

    Bayangkan bagaimana maruah kerabat sultan kita apabila isu nama ini menjadi pertikaian rakyat-rakyatnya. Saya kagum dengan penerimaan masyarakat terhadap penukaran nama Politeknik Dungun kepada Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin. Saya juga bangga menjadi bekas warga SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin. Saya merasai kehebatan nama ini.

    Penggunaan nama golongan monarki ini tidak keterlaluan, tapi wajar. Kita rakyatnya, patut berbangga dan menjunjung titah raja berdaulat. Maaf, saya mungkin terlalu emosional. Tapi saya juga mungkin terlalu rindukan kegemilangan zaman yang lalu.

    Memang kita tidak patut menilai sesuatu berdasarkan kulit luaran. Tapi isu nama ini bukannya kulit luaran, tapi ibarat judul, sama ada judul ini layak atau tidak untuk kandungan isi di dalam. Untuk menghidupkan sahsiah dan moral yang dulu, maka layaklah judulnya dinamakan "UniSZA".

    Wallahua'lam...
    Salam.

    ReplyDelete
  9. salam..

    setuju dgn pndpt sdri ain..dgn nama ia menggambarkan keadaan sesuatu benda tersebut..jd jgn pndg ringan kpd nama..

    tp mmg hakikat yg sdri ain sebut tu berlaku skrg..SMAASZA pon apa kurangnya..

    kembalikan kegemilangan dahulu..huhu

    ReplyDelete
  10. Mudah mudahan impian itu menjadi kenyataan. Merubah nama UDM kepada UNISZA tanpa perubahan struktur dan sistem pentadbiran, falsafah, misi dan visi sebagai IPTA, semua itu mungkin tiada makna. Melainkan UNISZA itu dibaca Universiti Islam Sultan Zainal Abidin, baharulah mungkin untuk roh KUSZA kembali sirna. Jika tidak, it's UDM's new name.

    ReplyDelete
  11. Saya rasa tak perlulah untuk semua org berbalah disini. Pertukaran nama udm ke UniSZA adalah dianggar wajar berdasarkan fakta bahawa ianya diasaskan oleh Sultan Zainal Abidin sendiri.

    Namun bagi kami golongan pelajar yg mengenal institusi ini dgn UDM terlebih dahulu ternyata akan menimbulkan kekeliruan di masa akan datang.Apa yang kami perlu jawab nanti apabila org bertanya anda belajar dimana? Ohhhh saya bljr di UDM tp skrg dipanggil UniSZA tapi dulunya KUSZA

    Walaupun apa pun sbgai warga universiti yang terpelajar kami menerimanya dgn tgn yg terbuka dan berharap semoga tiada lagi penjenamaan semula akan berlaku kerana nescaya ianya akan menimbulkan masalah terhadap golongan pelajar seperti kami.

    As a first batch for UDM...we already have to endure so much to bring our university name so that others will recognize us....We have put so much much effort into it..Our biggers hope that there is no more upcoming trouble

    ReplyDelete
  12. Sultan Zainal Abidin III bukan sebarang raja. Seorang raja yang juga seorang ulama. 3 serangkai dengan penasihat Tokku Paloh dan Dato' Seri Amar Diraja Ngah Muhammad mempertahankan ketuanan Terengganu daripada British.

    Sokong 300% kembali kepada nama Sultan Zainal Abidin. Barulah Tuanku Sultan Mizan "Zainal Abidin" kembali merestui universiti dan permaisuri Baginda akan datang menerima pemasyhuran Canselor UniSZA, Insya Allah.

    Wan Mokhtar memulakan KUSZA, Tok Guru Haji Hadi Awang yang merancakkan KUSZA, tetapi Idris Jusoh yang menghancurkan KUSZA dengan menyerahkan kepada kerajaan Pusat.

    ReplyDelete
  13. Assalamualaikum...

    Semoga UNISZA kembali cemerlang, gemilang dan terbilang di bumi para wali...

    merealisasikan modal insan di negeri ulul-albab, Serambi Madinah... bermulanya zaman kebangkitan buat kali kedua umat Islam...

    http://benuaterengganu.blogspot.com/

    Tamra di Benua Terengganu
    ~Persiapan dari Bumi Madinah~

    Wassalam.

    ReplyDelete