Assalamualaikum...
Malam ini, malam 26 Ramadhan. Pantas waktu-waktu yang berlalu. Sepanjang Ramadhan ini, ada banyak cerita suka. Juga banyak cerita-cerita duka. Cerita yang membuatkan aku semakin mengerti, dalam meneliti rasa yang sebenar. Rasa-rasa kehidupan. Itu ungkapan seorang teman, sewaktu kami berbuka di Masjid Putih, 31 Ogos yang lalu.
Ini cerita tentang seorang teman. Aku menatap wajahnya yang mahu pulang. Dia keberatan mahu pergi, apatah lagi kuliah masih berbaki dua hari. Keputusan untuk pulang itu dibuat secara terpaksa. Hatinya rumit, fikirannya kusut. Di sana menanti, dan dia mula menghitung waktu. Mindanya ralit melakar ekspresi lebaran, tanpa insan tersayang. Dia jadi lesu, tatkala mengenangkan waktu itu.
Sebab itu, pada malam kemerdekaan yang lalu dia jadi keliru dan bercelaru. Malam yang penuh dengan limpahan cahaya gagal menceriakan hatinya. Aku yang puas berkata-kata juga kalah dengan sikapnya yang diam seribu bahasa. Dan, dua orang adikku akhirnya menjadi pemujuk yang paling berjaya, kerana dia akhirnya tersenyum dan ketawa walau aku tahu jiwanya masih tawar. Aku pula, tiba-tiba berasa kelatnya. Bisa yang menyengat ke dalam naluri terus meresap ke seluruh urat nadi. Aku juga tahu hatinya mati, tapi jasadnya masih mahu berbudi dek adik-adik yang tidak jemu berbakti. Dia pembohong paling handal.
Konflik yang berlaku cumalah perkara kecil. Ketika seluruh warga UniSZA girang melaungkan kata-kata keramat merdeka, aku mengerti dirinya yang masih belum bebas. Terbelenggu. Dia telah tertawan dek rasa rindu. Itulah musuhnya. Bisanya kini meracak-racak padu, sehingga tulang-belulangnya rapuh sedingin salju. Aku juga pernah ditawan oleh rindu, suatu waktu dahulu, wahai temanku. Allah sedang berbicara denganmu, temanku. Syukurlah, sabarlah dan ikhlaslah. Sujudmu dan doamu, adalah sujud dan doa daripada seorang anak yang solehah. Bukankah ini impian daripada insan yang kau sayang, kerna itu dia pergi dahulu?
Aku paling bersemangat memberi dorongan, walhal aku sendiri yang pilu. Aku mahu jadi kuat. Aku mahu jadi gagah. Aku mahu kau tabah.
Malam kemerdekaan, malam penuh keinsafan. Aku jelik melihat telatah anak-anak muda yang bangga dengan motosikal mereka. Merempit. Juga berasa terkilan dengan telatah anak-anak kecil yang begitu gah dengan basikal tua. Dan ketika ramai jurugambar bertindak merakamkan aksi-aksi mereka, pewaris bangsaku rakus bersorak "Merdeka!". Aku kesal, inilah Malaysiaku. Inilah bangsaku. Adik-adik jalananku, yang masih lagi bersekolah. Bersorak-sorai tatkala embun pagi membasahi bumi. Jiwa mereka kian tercemar, jumlah mereka semakin ramai. Mereka, berjaya menguasai suasana. Alangkah indah jika pada bulan Ramadhan dan malam kemerdekaan sebegini sama-sama kita sujud kepada pencipta alam ini?
Pada hari terakhir bersamamu, aku pohon kau mengerti bahawa di sebalik kesusahan itu pasti ada terselit kesenangan. Betapa resah pun hatimu, yakinlah Allah Maha Mengasihi hamba-hambanya, dan hanya Dialah yang mengurniakan nikmat. Air mata pantas mengalir dalam kalbumu yang lembut. Jiwamu hidup.
Ketika berbuka puasa di Masjid Putih, cuba kau bayangkan tentang kehidupan setiap ibu-ibu dan bapa-bapa di hadapan kita. Garis-garis tua di wajah mereka menggambarkan kesulitan hidup. Di mana anak-anak tika usia mereka semakin senja. Di mana keluarga, yang selalu kita umpamakan seperti kiambang bertaut. Hati-hati tua meraka lebih derita, lebih sengsara. Namun, sebaik azan berkumandang mereka menjamah hidangan dengan penuh berselera. Mereka adalah insan-insan yang selalu bersyukur. Aku teringat mak cik berbaju biru, begitu teruja menbahagikan duku-dukunya di setiap meja. Dia tidak mampu untuk makan besar, tapi masih lagi bermurah hati berkongsi rezeki. Kita tidak pernah mengenal mereka, insan-insan yang berhati mulia.
Temanku,
Jangan kau cari terang mentari dalam keredupan kerdipan lilin,
Kembalilah ke jalan cinta yang jauh lebih unggul...
Aku selalu mendoakan kebahagianmu.
Aisya tiba petang tadi. Bonda paling gembira. Aku terkenangkan abah. Aku terbayang-bayang abah mengdukung dan mendakap Aisya. Teman, aku juga sungguh rindu pada abah! Semoga Allah mencucurkan rahmatNya ke atas roh-roh muslimat dan muslimat di seluruh dunia. Amin. Biar resah bernilai ibadah!
Salam.
No comments:
Post a Comment