Assalamualaikum...
Salam.
Ramadhan Kareem. Jiwaku hidup. Setiap hari, cerita-cerita manusia dan cerita tentang diriku membuatkan aku mengelamun sendiri. Indah tarbiah Tuhan. Tarbiah Ramadhan. Supaya aku tidak alpa, tidak leka, dan tidak riak dengan nikmat dari-Nya.
Satu Ramadhan, mungkin hari paling bahagia. Namun, bahagia itu sebenarnya isyarat untukku agar bersedia jika berduka. Aku tahu hakikatnya. Tarbiah Ramadhan, bukankah jodoh dan maut itu ketentuan dari-Nya? Redha.
Dua Ramadhan. Ingatan buatku, agar jangan terlalu mudah memberi muka, kelak aku sendiri yang merana. Pesan bonda malam itu, buat baik berpada-pada. Mula-mulanya aku mahu menjadi mesra, tapi setelah kejadian 'laptopku dibawa lari tanpa suara' aku lebih banyak diam. Tarbiah Ramadhan, jangan bersangka buruk!
Tiga Ramadhan. Perkhabaran gembira. Namun hatiku tiba-tiba jadi cemburu buta. Aku juga mahu bahagia seperti itu. Jujur, jiwa tidak tenteram. Asyik berfikir tentang masa depan, aku juga mahu bahagia! Tahniah buat sahabat, Nur Amirah Ali yang telah selamat melahirkan Haura'a Adriana Qistina. Moga hidup kalian, bertambah seri dengan kehadiran cahaya mata pertama. Doakan juga kebahagiaanku, aku mohon dipermudahkan segala urusan oleh-Nya. Tarbiah Ramadhan, bersabarlah. Kita merancang, Tuhan yang menentukan.
Empat Ramadhan. Perasaan yang lain macam tiba-tiba. Malam itu, si kancil terluka. Aku seolah-olah sedang menempuh kejadian yang berulang. Berdebar kencang, aku terbayang peristiwa dahulu. Nyawa hampir melayang. Syukur, kali ini hanya kemalangan kecil. Tarbiah Ramadhan, tahukah kita bila waktu dijemput-Nya?
Lima Ramadhan. Aku jarang bertindak begitu. Saat diri dikuasi nafsu, aku seperti bukan aku. Maaf, bukan niat untuk bertindak sebegitu, aku hanya mahu buktikan pembelaan. Walaupun, cara itu aku tahu salah. Maaf~ Aku tahu sukar untuk kembali senyum seperti dulu, tapi percayalah setelah biduk berlalu kiambang pasti kembali bertaut. Tarbiah Ramadhan, jangan marah. Ya Allah, kuatkan imanku. Jihad yang paling besar, ialah jihad melawan nafsu.
Aku sungguh-sungguh mengharapkan, Ramadhan kali ini membawa seribu erti yang besar dalam jiwa. Aku tidak tahu bilakah masanya aku akan dibawa pergi. Dan untuk waktu-waktu yang ada ini, aku berharap aku dapat berbuat bakti. Membuatkan orang lain juga bahagia dengan kehadiranku ini, bukannya untuk menyakitkan hati.
Sahabat2, teman2, dan insan2 yang ku sayang:
Maafkan diriku, andai dirimu pernah berasa derita ketika berdampingan denganku. Maafkan diriku, andai wajahku ini selalu sahaja mengundang gusar kepada dirimu yang memandang. Maafkan diriku, andai bicara ini, membuatkan dirimu terpaksa menelan rasa pahitnya. Maafkan aku.
"Moga hidup kalian dilimpahi nur-Nya, diberikan barakah berpanjangan dan ditempatkan di syurga-Nya" Amin..
Salam.
No comments:
Post a Comment