YOU ALWAYS BURN MY SPIRIT

Monday, November 22, 2010

KECILKAN JURANG, ISIKANLAH RUANG

-Jangan putuskan ikatan yang jerih dibina-


Assalamualaikum...

Usai menjawab kertas Hubungan Etnik, aku jadi sungguh resah. Gelabah. Mencari-cari buku rujukan yang menjadi peneman sejak pagi tadi. Bukan kerana buku tersebut hilang, tapi mindaku yang sebenarnya melayang-layang. Terbang mahu mencari jawapan. Aku geram sebab isi kandungan yang dibelek sepanjang hari ini tidak semuanya mengena! Tapi aku sudah berusaha untuk menyempurnakannya. Sebaik mungkin. Aku telah menggunakan seluruh daya. Penawar duka paling mujarab adalah bertawakal kepada-Nya. InsyaAllah.

Aku jarang menghadap sesebuah buku dengan tekun sepanjang hari. Kalau ada, bukanlah buku yang sama. Ini kali pertama, seingat-ingat aku. Kalau novel, mungkin lain ceritanya. Hari ini aku cuba menghadam Modul Hubungan Etnik. Aku suka akan judulnya.

Pada pendapat aku, tatkala berbicara mengenai perpaduan dan integrasi nasional, masih terdapat banyak lagi cerita-cerita pahit yang terpaksa kita telan. Persoalan yang timbul, adakah perpaduan di Malaysia kita sudah benar-benar utuh?

Kata orang, mendalami sejarah membosankan. Hakikatnya, sejarahlah yang mengajar kita untuk mengatur masa depan. Jujur sebagai rakyat Malaysia, aku bersyukur kita semua hidup dalam satu negara. Maksud 'kita semua' itu aku rujuk kepada kaum Melayu, Cina dan India. Aku mahu memahami nilai kepelbagaian sebagai satu rahmat.

Walaupun begitu, aku tidak menafikan dalam hati kadang-kadang terlintas rasa etnisiti, rasisme dan prejudis terhadap kaum-kaum lain. Namun semua rasa itu bukanlah penghalang major untuk kita semua bersatu-padu. Selagi dalam hati masih kuat lagi perasaan cinta akan negara dan bangsa Malaysia, segala anasir sebegitu mudah terhakis dengan sendirinya.

Aku cinta negaraku. Aku cinta Malaysia. Biarlah. Biarlah aku rasa gagal untuk menjawab semua soalan exam tadi dengan tepat. Asalkan aku tahu, aku berjaya untuk mengisi hatiku dengan semangat perpaduan dan patriotisme. Aku tidak kecewa, bahkan berasa teruja dengan banyak maklumat yang aku perolehi hari ini.

Untuk mewujudkan perpaduan yang benar-benar utuh, aku pohon untuk kita sama-sama kecilkan jurang yang wujud. Bukan dengan cara kelicikan berpolitik, tapi dengan cara permuafakatan yang idealistik. Bukan dengan cara merebut ekonomi, tapi dengan cara sama-sama bangun memanfaatkan peluang keemasan yang diberi. Bukan dengan cara menjatuhkan sosial, tapi cuba untuk mengatasi kecemburuan yang semakin menggila. Isikanlah ruang yang kosong ini dengan semangat nasionalisme yang tidak berbelah bahagi. Inikan negara kita, tanah air kita. Siapa lagi yang sepatutnya menjaga negara, kalau bukan kita? Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang agama.

-Selamat Hari Lahir ke-21 buat Nurul Sakinah binti Ahmad Faisal.
Moga Allah merahmati kamu. Amin-



Salam.

No comments:

Post a Comment