YOU ALWAYS BURN MY SPIRIT

Wednesday, December 29, 2010

SEMPURNA

Assalamualaikum...

Ketika entry ini sedang ditulis, aku sedang mendengar Asma Allah. Alunan Sami Yusuf. Yang mesejnya, dapat aku terima. Sempurna. Dan ketika entry ini sedang ditulis, aku juga sedang melayari laman sosial kegilaan dunia, Facebook. Oh, bukan kegilaan dunia. Tapi kegilaan manusia. Juga aku, suatu ketika dahulu. Dan kegilaan itu terubat, aku kira. Kerana kadar kekerapan membuka laman sosial ini tidaklah segila dulu. Ok, itu kisah dulu. Aku mahu bercerita tentang kisah sekarang. Sebuah kisah SEMPURNA.

Sempurna itu indah. Baik. Tiada cacat celanya di mana-mana. Sempurna adalah yang terbaik. Dan, selaku makhluk yang diciptakan sempurna, kita selalu sahaja mencari kesempurnaan.

Ada orang cintakan akhirat, akan cuba menyempurnakan rukun yang lima. Juga berazam untuk menjadikan setiap pekerjaan di dunia ini sebagai ibadah. Supaya sempurna, berat timbangan pahala di hari perhitungan. Setiap detik dihargai dan dihayati dengan mengenangkan kebesaran Ya Kareem.

Ada orang yang cintakan duniawi, berlari dan terus berlari tanpa penat untuk mencapai hasrat hati. Serta, hati yang mati rela menumpahkan seluruh kudrat demi segenggam kuasa di bumi ini. Ya, rela berkorban apa-apa saja demi segenggam kuasa yang tidak kekal lama. Kan, orang ini telah jadi alpa, dek kuasa dunia. Pelusok alam ini, kan Allah yang Maha Berkuasa? Orang-orang ini, sangat cintakan kesempurnaan diri mereka. Lantas, segala usaha jerih dilaksana demi memohon pandangan yang mulia di sisi para hamba yang hina. Walhal, dirinya itu paling keji di sisi Yang Esa.

Kesempurnaan, tidak pernah menjadikan diri seseorang manusia tampak sempurna. Tapi, yang terserlah hanyalah kejelikan. Kesempurnaan untuk mengejar pangkat, harta dan nama itu sebenarnya lebih membawa padah. Tatkala kuasa digenggam, kebahagiaan pula terlepas dari tangan. Dan kesengsaraan mulai kebal, tidak mahu padam. Kesempurnaan itu, tidak sempurna!

"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun" (Surah al-Mulk: 2)

Carilah kesempurnaan yang hakiki. Berdasarkan petunjuk daripada Ilahi, berlandaskan Al-Quran dan Sunnah nabi. Hidup ini terlalu singkat. Esok atau lusa, saatnya mungkin tiba. Sempurnakanlah diri, sebagai bekalan untuk bertemu Rabbi.


-Hatiku 'tidak sihat'-


Salam.



No comments:

Post a Comment