Assalamualaikum...
Aku sebenarnya suka pada perubahan. Namun, biarlah perubahan yang berlaku itu satu perubahan yang baik dan tidak bertentangan dengan sahsiah kita, selaku umat-Nya. Pekan budaya, semakin rancak di Dataran Merdeka, Bandar Dungun.
Program yang dirancang ini, amatlah baik secara keseluruhnya. Niat yang murni. Walaupun begitu, kemurniaan ini sedikit 'tercemar' dengan kerenah warga bandarku yang semakin tipis sahsiahnya. Semakin mual dengan telatah belangkas-belangkas 'kecil'. Masih muda, remaja. Asing, budaya bandar ini asalnya tidak seperti di pekan budaya. Lantas, mereka dihantui oleh kejutan budaya.
Seperti mana lazimnya, setiap konsert yang diadakan mendapat sambutan luar biasa. Itupun melalui jelingan mata, tatkala mengambil adik di kelas malam. Kasihan anak-anak yang bakal menghadapi UPSR ini, ketekunan belajar mereka terganggu tiap-tiap malam. Pekan budaya, sesak dengan orang ramai, jalan ditutup kiri dan kanan, sedangkan sekolah rendah hanya 'sejengkal' di hadapan. Anak-anak ini sebenarnya rimas belajar siang dan malam, sakit halwa telinga mereka yang dihiburkan dengan melodi-melodi kencang di seberang jalan.
Ceramah tentang 'Haji Menjana Ekonomi Ummah' malam tadi ternyata mendapat sambutan yang biasa-biasa saja. Itupun, kata orang-orang muda, 'majlis orang-orang tua'. Kebenaran yang pahit ditelan. Tapi, malam itu, aku merasai suasana yang berbeza. Setelah hati ini sudah lama tidak dilenturkan. Mulut jadi diam, mata jadi celik. Indah sungguh tarbiah Tuhan. SUBHANALLAH!
Ingin aku dikongsikan pengalaman, yang sangat manis dikenang. Jiwa jadi murni dan harmoni ketika tangan melambai-lambai ke Tanah Suci. Terasa sungguh dekat di hati. Praktikal ibadah haji yang dijalankan adalah antara salah satu program yang menarik. Diri insaf, apabila rupa-rupanya hari ini, baru aku sedar banyak lagi ilmu tentang haji yang tidak aku ketahui. Banyak. Sungguh banyak. Aku berjaya secara teori yang berorentasikan peperiksaan, namun aku kalah dalam praktikal yang diuji. Bilakah aku mahu pergi? Waktu para jemaah sedang khusyuk memuji Tuhan, sorokan di atas langit bergema. Wajah Pekan Budaya, bukankah biasa begitu? Di atas buian tinggi, mereka melihat isi alam, sedangkan para jemaah terkebil-kebil memerhati dengan penuh keinsafan. Gadis-gadis yang 'tak cukup kain' tersipu-sipu malu dan mengundur diri berselisih dengan para 'jemaah haji'. Lelaki-lelaki yang berwarna-warni rambutnya tunduk memerhati bumi. Malu, mungkin. Moga tercetus kesedaran dalam diri mereka. Amin.
Secara jujurnya, aku juga terkejut melihat suasana yang jauh berbeza. Aku jadi takut masuk ke gerai-gerai yang menjual pakaian, kasut, beg dan sebagainya itu. Orang-orangnya, buat aku gerun untuk bersemuka. Pakaian, cahaya wajah, bahasa... semuanya suram. Pekan budaya, mempamer pelbagai budaya yang begitu asing. Ya, asing bagi aku, gadis kampung.
Yang baik, harus kita jadikan tauladan. Yang buruk, jadikanlah sempadan. Kata-kata terakhir daripada ahli panel malam tadi, "Perbincangan yang cantik dan indah tidak bermakna, jika tidak disusuli dengan tindakan. Andai tiada keikhlasan dan kesungguhan hati untuk menerima, pincanglah segala kata-kata, rosaklah perhubungan". Mataku terpaku, banyak peristiwa yang berkait terlintas di fikiran tatkala habis noktah terakhir daripada beliau.
-Bersedia-
-Sesi penerangan oleh kakitangan Lembaga Tabung Haji-
-Jom tawaf-
-Saie antara Bukit Safa dan Bukit Marwah-
-Sesi jawab soalan-
-Lontar!-
"Kita hidup bukan untuk diri kita semata-mata,
kerana kehidupan itu singkat.
Melalaikan pula.
Apa yang perlu dilakukan pada
usia yang terbatas ini ialah
buat sesuatu untuk ditinggalkan
kepada generasi selepas kita.
Apabila kita hidup dengan
pemikiran matang,
maka kehidupan akan
lebih bermakna dan berkesan"
-As-Syahid Saiyid Qutb-
p/s: Jom sama-sama kita menuju kebaikan dalam bulan Rejab ini =) Cari keberkatan-Nya..
Salam.
Assalamualaikum NA,
ReplyDeletePekan Budaya di Bandar Dungun ternyata dapat sambutan.
Sebenarnya pesta Pekan Budaya ini tidak salah.Tetapi apabila bercampur dengan unsur-unsur yang melalaikan maka ia dilihat tidak beberapa baik.
Ini mungkin tajdid yang bakal berlaku di bandar Dungun.