YOU ALWAYS BURN MY SPIRIT

Thursday, November 18, 2010

KASIH-SAYANG YANG TERPENDAM


Assalamualaikum...

Aidiladha tahun ini sungguh berbeza. Tanpa bonda, jelas terasa pahitnya. Tanpa abah, hati sayu tatkala mendengar takbir raya. Tanpa mereka, hidupku, seolah-olah lompong.

Namun, bukan aku seorang sahaja yang berasa begitu. Ada berjuta-juta manusia berkongsi rasa yang sama cuma aku tidak tahu siapa. Mungkin aku lebih lagi bernasih baik. Tapi mereka, sarat menanggung derita.

Syukur, kehadiran dua orang teman menceriakan suasana. Berkorban, tidak pulang. Normal, bagi si anak perantau. Aku membayangkan betapa tabah hati mereka kerana tidak dapat bersama-sama keluarga pada hari yang istimewa. Kasih-sayang yang sepatutnya mereka curahkah, akhirnya terpendam.

Bonda, ketika aku bertanyakan khabar, katanya berada di Mina. Berderai pecah, berjurai butir-butir mutiara. Kerana bonda tiada di sisiku. Ketika menonton televisyen yang menyiarkan berita tentang khabar haji, aku memerhatikan setiap wajah tetamu Rabbi. Teruja, mencari-cari kelibat bonda dalam lautan manusia. Benar-benar, aku mahu menatap wajah bonda. Tapi tidak berjumpa, rasa sayang itu ku pendam jua akhirnya.

Pagi aidiladha, aku berasa kehilangan. Hilang teman. Setelah dia 'membuang' diriku, aku berasa terawang-awangan. Di fikiranku, terbayang saat pertama pertemuan. Bahkan, aku masih ingat topik perbualan antara kami. Aku masih ingat pakaian yang dipakainya pada hari itu, dan aku masih lagi ingat jasa-jasanya kepadaku. Mungkin aku bukanlah seorang teman yang baik, padanya wajar untuk aku 'pergi' dari hidupnya. Dia mungkin boleh senyum dan ketawa tanpa teman sepertiku andai benar perkenalan denganku merobek hatinya. Tapi aku tidak begitu, Kerana aku tahu diriku pasti sayu bila bertemu. Aku sayang kepada teman-temanku. Namun ada waktunya, aku cuba pendamkan perasaan itu. Nilai kesempurnaan, telah mengorbankan seorang teman. Itu bukan pengorbanan yang mulia, juga bukan nilai kesempurnaan yang dipinta!

Parah keadaannya jika terlalu memendam rasa. Apatah lagi jika yang dipendam itu rasa sayang. Tidak terluah. Rasa yang boleh membawa bahagia bakal bertukar derita. Rawatlah hati. Hidup ini untuk bersyukur. Syukurlah kepada orang-orang yang menyakitimu, kepada orang yang tidak mengendahkanmu, kepada orang yang menjatuhkan kamu, kepada orang menyeksamu, dan kepada orang yang mengujimu, kerana merekalah yang mangajar dirimu erti ketabahan, meningkatan kehebatan dirimu dan memberi peluang untuk kamu bermujahadah. Syukur, andai kamu dianugerahi rasa sayang daripada sesiapa sahaja. Kerana merekalah penawar dukamu. Jangan pendamkan rasa sayang, pamerkan dengan penuh keikhlasan. Bercinta dan berkasih-sayanglah kerana Ya Rahman Ya Rahim, Pencinta Sekalian Alam.

Tiga tahun tanpa abah dan hambir sebulan tanpa bonda, membuatkan aku kadang-kadang jadi haru-biru. Perasaan yang dipendam membuahkan resah-gelisah. Aku harus belajar mengurus hidup. Perutusan kasih-sayang itu aku curahkan kepada Ya Habibi. Semoga hidupku, mendapat berkat daripada-Nya.

-Daging yang bakal diagih-agihkan kepada penduduk kampung. Pakcik tua mengerah keringat di bawah terik mentari, mahu melihat senyuman penerima rezeki Rabbi-

-Syukur, rezeki anak perantau-

-Cepat mesra dengan Pak Amat, walau kali pertama mereka berjumpa-

-Wajah-wajah ceria, aku juga turut bahagia-

-Di Pantai Batu Pelanduk, aku gembira kerana Ana dan Izzah turut serta-

-Rogayah Ghozi dan Dayana Chaco, terima kasih daun keladi~-


Salam Aidiladha 1431H.


No comments:

Post a Comment